Wednesday, September 17, 2008

EMI berkubur??

Tadi selak2 akhbar Utusan Malaysia Online tadi terjumpa pulak artikel kat bawah ni.. cekidot ah yer ;)

Di sebalik kisah 1 September EMI

TANGGAL 1 September lalu merupakan suatu tarikh yang mungkin sukar untuk dilupakan oleh EMI Music Malaysia (EMI) selepas hampir 42 tahun syarikat rakaman bertaraf antarabangsa itu beroperasi dan bertapak di negara ini.

Ini kerana, selepas tarikh tersebut, anak syarikat rakaman yang beribu pejabat di London, United Kingdom (UK), itu tidak lagi beroperasi dalam memasar dan mengedarkan lagu-lagu serta album-album terbitannya.

Sebaliknya, difahamkan operasi pemasaran dan pengedaran untuk tiga tahun berikutnya mulai 1 September lalu itu telah diambil alih oleh syarikat rakaman Kumpulan Warner Music (WMG), di mana ia turut melibatkan cawangan-cawangan EMI di Thailand, Korea, Singapura, Hong Kong dan Indonesia.

Pengambilalihan

Kontrak pengambilalihan dua operasi penting dalam perniagaan EMI itu antara lain membabitkan artis-artis, lagu-lagu serta album-album tempatan yang masih berada dalam simpanan serta hak milik syarikat rakaman tersebut sejak era tahun 1960-an sehinggalah kini.

Kita berharap agar khazanah lagu-lagu dan album-album Melayu artis-artis tempatan yang masih berada dalam simpanan EMI tidak hilang begitu sahaja kerana ia merupakan aset- aset penting yang boleh diguna pakai untuk rujukan generasi akan datang.

Perkembangan terbaru dalam industri rakaman album itu tidak mengejutkan ramai penggiat muzik tanah air kerana ia ekoran daripada senario yang sedang melanda persada muzik walau di mana-mana juga sejak akhir-akhir ini.

Ia antaranya disebabkan sambutan dan jualan album-album yang dikatakan semakin kurang memberangsangkan kerana persaingan sengit daripada trend muat turun lagu-lagu di Internet, menerusi telefon bimbit, selain masalah cetak rompak yang tidak pernah berkesudahan sejak puluhan tahun lalu.

Pengecilan operasi dalam syarikat-syarikat rakaman, termasuklah EMI sebagai antara yang tertua di dunia iaitu berusia hampir 106 tahun, secara tidak langsung menggambarkan banyak perubahan yang sedang berlaku dalam industri rakaman album ketika ini dan pada masa depan.

Antaranya, soal peralihan trend dan teknologi dalam industri rakaman album yang kini berdepan dengan cabaran serta cakupan pasaran yang lebih luas skopnya sesuai dengan 'dasar langit terbuka' yang sudah lama melanda di seluruh dunia.
Dalam erti kata lain, syarikat rakaman kini tidak boleh lagi bergantung kepada produk seperti piring hitam, kaset serta cakera padat (CD) semata-mata, sebaliknya mereka haruslah berjalan seiring dengan perkembangan teknologi dan permintaan dalam industri muzik semasa.

Syarikat rakaman bukan setakat harus mengubah trend format penerbitan produk-produk mereka, tetapi karyawan seperti komposer, penyanyi dan pemuzik juga haruslah sentiasa peka dengan perkembangan muzik semasa yang sering berubah-ubah.

Kalaulah syarikat rakaman antarabangsa seperti EMI pun terpaksa tunduk dengan tekanan dan cabaran seperti itu, maka syarikat-syarikat rakaman tempatan yang umpama 'ikan bilis' juga sudah semestinya tidak terkecuali terkena bahangnya.
Hakikat itu dapat dilihat apabila sejak lima tahun kebelakangan ini, banyak syarikat rakaman tempatan yang terpaksa gulung tikar kerana masalah-masalah tersebut.

Daya saing

Senario itu diburukkan lagi dengan sikap stesen-stesen radio swasta yang lebih mengutamakan penyiaran lagu-lagu artis luar negara, selain kurangnya daya saing dan mutu lagu-lagu yang dihasilkan oleh para karyawan muzik kita.

Dasar, sokongan dan penguatkuasaan daripada pihak-pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Penerangan misalnya, amat diperlukan bagi membantu memulihkan semula industri rakaman album yang semakin tenat di negara ini.

Penguatkuasaan akta hakcipta karyawan muzik, agihan royalti dan Dasar Muzik Negara yang pernah heboh dicanangkan sebelum ini juga sepatutnya dikemuka serta diperhalusi semula peranannya.

Malah, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW) yang dipertanggungjawabkan menjaga bidang kesenian termasuklah seni muzik haruslah memikirkan secara serius tentang perkembangan yang sedang berlaku itu.

Seperti yang pernah diusulkan menerusi KPKKW sebelum ini, penubuhan Perbadanan Kemajuan Muzik Nasional Malaysia juga seakan-akan dipandang sepi berbanding industri perfileman yang sudah lebih 25 tahun mendapat pembelaan daripada kementerian terbabit.

Sokongan pihak-pihak terbabit sedikit sebanyak boleh menyumbang kepada perkembangan dalam industri hiburan secara keseluruhannya kerana bidang muzik antara seni yang popular di negara ini selain dunia lakonan.

Jika syarikat rakaman gergasi seperti EMI pun sudah tidak mampu lagi untuk meneruskan survivalnya dalam penerbitan album, maka apa pula nasib yang akan menimpa para komposer, penulis lirik, penyanyi dan pemuzik kita selepas ini?
Bayangkan, apakah juga yang akan berlaku dalam industri hiburan tempatan jika tiada lagi syarikat rakaman atau penyanyi yang sanggup menerbitkan album untuk sajian halwa telinga generasi akan datang?

Maka, ketika itu kita mungkin terpaksa berdepan dengan masalah yang lebih besar termasuklah penjajahan era baru bukan sahaja daripada segi ekonomi tetapi juga budaya dan pemikiran.

laman asal klik sini

Lagi satu artikel :

Menanti nasib artis EMI

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my

NAMPAKNYA nasib artis-artis tempatan yang bernaung di bawah payung syarikat rakaman EMI Music Malaysia akan berhadapan dengan cabaran baru dalam meneruskan karier mereka khususnya selepas tarikh 1 September lalu.

Ini kerana, mulai tarikh berkenaan, segala urusan pemasaran dan pengedaran album hampir 11 artis tempatan EMI telah diberikan hak pelesenannya kepada syarikat rakaman kumpulan Warner Music (WMG).

Dalam erti kata lain, mengikut perjanjian yang telah dipersetujui itu, WMG kini bebas untuk memilih mana-mana artis EMI yang mereka rasakan berpotensi untuk terus diketengahkan ataupun sebaliknya.

Bagaimanapun, menurut Ketua Bahagian Domestik EMI Music Malaysia, Mohd. Arzmy, artis-artis terbabit masih merupakan artis-artis syarikat rakaman itu BERDASARKAN KEPADA KONTRAK YANG SEDIA ADA TETAPI HAK RAKAMAN, PEMASARAN DAN pengedarannya telah 'DILESENKAN' kepada WMG.

"Setakat ini EMI Malaysia mengikat kontrak dengan 11 artis tempatan, antaranya Bandi Amuk, Ella, Ziana Zain, Fiq, Republic Of Brickfields, Sheila Abdull, Camelia, Awie, VE, Ruffedge dan Mael XPDC.

"Kami akan berbincang terlebih dahulu dengan artis-artis terbabit sama ada akan mengekalkan, menyambung ataupun menamatkan kontrak mereka dalam waktu terdekat ini.

"Bagaimanapun, EMI berkemungkinan besar akan menamatkan kontrak atau 'membebaskan' mana-mana artis yang tidak diperlukan oleh pihak WMG," katanya kepada Hits pada satu pertemuan di pejabatnya di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Jelas Mohd. Arzmy, perjanjian hak pelesenan pemasaran dan pengedaran selama beberapa tahun itu turut meliputi produk-produk terbitan EMI cawangan Hong Kong, Indonesia, Filipina, Korea, Singapura dan Thailand berkuatkuasa 1 September lalu.

Ketika ini, perjanjian yang sama telah pun dilaksanakan tetapi EMI yang memegang hak pelesenannya pemasaran dan pengedaran produk-produk WMG di Afrika Utara, Timur Tengah dan India.

Katanya, ekoran perubahan dalam pengurusan anak-anak syarikat EMI yang beribu pejabat di London, United Kingdom itu, ia juga melibatkan para kakitangan EMI Malaysia, di mana ada di kalangan mereka yang mungkin akan diserapkan menerusi WMG.

"Saya difahamkan kakitangan EMI Malaysia yang tidak terpilih akan diberi pelepasan dengan mendapat pampasan mengikut tempoh perkhidmatan mereka. Malah, pejabat EMI ini akan dikosongkan pada hujung bulan ini.

"Hanya jabatan akaun yang mungkin akan dikekalkan tetapi ia juga akan dipindahkan di suatu tempat yang telah ditetapkan kelak," ujarnya yang memulakan kariernya sebagai Pengurus Artis di EMI Malaysia pada tahun 1977.

Perubahan struktur perniagaan terutamanya pengedaran dan pemasaran hak cipta produk-produk EMI Malaysia ini merupakan yang paling drastik pernah berlaku selepas hampir 42 tahun ia beroperasi di negara ini.

Difahamkan, EMI yang merupakan antara syarikat rakaman tertua di dunia dengan usia 106 tahun melakukan penstrukturan semula itu selepas ia dibeli oleh syarikat Terra Firma sebuah syarikat gergasi di Eropah di Bursa Saham London dengan nilai lebih 3.2 bilion pound sterling (RM19.8 billion).

Ditanya mengenai nasib lagu-lagu dan album-album artis tempatan yang masih berada dalam simpanan EMI Music Malaysia, Mohd. Arzmy berkata, ia tetap akan menjadi hak milik syarikat rakaman tersebut.

"Hak pengedaran dan pemasaran ke atas produk-produk terbitan EMI Music Malaysia termasuklah artis-artis luar kepada WMG hanya diberi tempoh beberapa tahun sahaja.

"Selepas itu, terpulanglah kepada mereka untuk memperbaharui atau tidak hak-hak tersebut. Ini kerana, EMI mempunyai ratusan ribu lagu-lagu dan album-album yang masih berada di bawah syarikat rakaman ini," kata Arzmy yang bakal memulakan kariernya di sebuah syarikat lain sebelum hujung tahun ini.

link asal klik sini .

ermm EMI pun rebah gak eh.

3 comments:

eddie dewanaga said...

artis2 EMI yg slalu gua ingat...

1. Iron Maiden
2. Whitesnake
3. Cromok
4. Ella
5. Dato' Syarifah Aini (feewwwiiittt....!!)

matakucing said...

sudirman, uji rashid, bloodshed jgn lupa

deaf-angel said...

zaman dulu emi conquer..
especially zaman kaset iron maiden tahun 80an dulu