Showing posts with label monoloque. Show all posts
Showing posts with label monoloque. Show all posts

Monday, July 29, 2013

Butterfinger : Selamat Tinggal Dunia


"Selamat Tinggal Dunia" merupakan satu tajuk yang mungkin satu kontroversi suatu ketika dahulu. Adakah ini adalah album penutup sekaligus menguburkan kugiran Butterfingers?. Mungkin ianya simbolik kepada pembebasan mereka dari bersama EMI atau ianyanya sekadar mengambil salah satu tajuk lagu dari album ini. Ini merupakan album yang rebel, marah dan kritis dan lebih melayu jatidirinya. Kenapa lebih melayu? sebab seolah-olah mereka memanipulasi semangat Hang Jebat kedalam album ini.

Album yang kembali kepada bunyi asas rock, lebih spontan,mentah dan sedikit eksperimentasi dengan efek bunyi  dan keyboard dan lantang pada lirik-liriknya. Dengarkan saja "Selamat Tinggal Dunia","Merpati Sejoli", "Cuai" dan Tentang-tentang" pastinya anda dapat tahu mereka sedang 'memerangi' media (akhbar, majalah, radio dan tv)  di Malaysia yang mana ketika itu industri muzik dibanjiri dengan artis-artis dari Indonesia sehingga karya artis tempatan dipinggirkan. Dengan tonasi  suara Emmet yang pelat menjadikan album pertama berbahasa melayu ini unik walaupun ianya mendapat kritikan hebat. 

'Hanyut" agak eksperimental dan agak funky. Dengan efek bunyi sape dan solo gitar yang berselirat lagu ini harus diberi perhatian juga selain "Urusan Seri Paduka Baginda" yang mengetengahkan dan memanipulasikan bunyian gamelan dengan kesan bunyi. Lirik dalam lagu ini banyak mengangkat prosa-prosa melayu klasik. ianya amat jelas pada lagu "Daulat Tuanku" yang ianya amat sesuai dan bertepatan dengan cerita lagu tersebut. Ini antara album revolusi dalam rock melayu.


Friday, December 30, 2011

Review Monoloque : Hikayat Halimunan Abad ke-21 : Jejak Tanah




Monoloque asalnya merupakan projek solo peneraju utama Butterfingers, Loque dimana muziknya berteraskan bunyian digital & kesan khas elektronik. "Jikaku Seorang Robot" merupakan material terawal yang sarat dengan bunyian digital sekaligus memperkenalkan Monoloque kepada khalayak pendengar. Namun setelah "berehat"nya Butterfingers (dengan penghijrahan Emmet, vokalis Butterfingers ke Kanada) dan kebosanan bermain dengan bunyian digital & elektronik Loque nekad untuk menubuhkan 1 unit pasukan baru dengan menjemput kadax & Loko (kedua-duanya ahli Butterfingers), Ijoo dan Apex bagi melengkapkan unit Monoloque.

Setelah beberapa tahun berhempas pulas mengerah idea, tenaga & mempromosikan bunyian Monoloque kepada umum, akhirnya album sulung "Hikayat Halimunan Abad Ke-21 : Jejak Tanah" dilancarkan pada November yang lepas. Album yang ditunggu-tunggu ini mengandungi 8 buah bunyi-bunyian segar yang dikarang oleh Loque & disusun bersama Monoloque. "Kupu-Kupu Malam (Bunyikan Semboyan)" sebagai bunyian pembukaan untuk santapan halwa telinga. Bunyian yang segar dan rancak ini cukup untuk membuatkan pendengar untuk terus menikmati album ini.

"Kekanda Adinda" merupakan bunyian rancak& menangkap ini menampilkan Atilia (anak kepada biduanita 70-an Salamiah Hassan) berduet dengan Loque. Bunyian yang kuat perisa "pop"nya merupakan lagu tema untuk drama "8 Bulan" lakonan Rashidi Ishak & Vanidah Imran. Dengan lirik yang santai dan mencuit hati ini mengisahkan tentang kehidupan suami isteri di era moden yang sibuk dengan kerjaya. Ianya seolah-olah mengembalikan nostalgia pasangan duet seperti, Hail Amir & Uji Rashid, Abdullah Chik & Noraniza Idris serta P.Ramlee & Saloma. Selain Atilia album ini juga menampilkan penyanyi era 80-an, Azlina Aziz yang merupakan anak kepada seniwati Normadiah & Aziz Jaafar untuk berduet menerusi "Batu Belah Batu Konkrit (Bonda)". Berbanding dengan "Kekanda Adinda" yang lebih "ringan" & ceria, bunyian ini lebih "berat" dan "mendalam". Gabungan alunan piano oleh Loque, diiringi elemen string dan lontaran vokal Azlina Aziz yang sungguh "signature" dan lemak merdu (persis vokal seniwati Normadiah) membuatkan pendengar larut menyusuri melodi & lirik yang menikam kalbu. Sebuah bunyian dan kolaborasi yang padu. Sungguh hebat.

Seterusnya "Chinta" membawa pengertian cinta dengan skop yang lebih luas. Bunyian ini akan mengingatkan pendengar kepada bunyian "Urusan Seri Paduka Baginda" yang dipetik dari album Butterfingers - Selamat Tinggal Dunia. Dengan suntikan bunyian gamelan dan disulami nuansa rock ianya suatu yang agak "psychedelic" dan memikat. "Gurindam Hutan Batu" dan " Hapuskan Air @ Mata Mu" menampilkan permainan yang kemas & susunan muzik yang baik, terutama permainan drums yang teknikal dan kemas pada kedua-dua bunyian tersebut.

"Tiada Kata Secantik Bahasa" merupakan bunyian yang cukup rasanya. Dengan susunan muzik yang menarik & berbeza ianya langsung tidak mencacatkan melodi asal yang sememangnya indah & menawan. Ianya merupakan satu penghormatan kepada Tan Sri P.Ramlee yang merupakan pengaruh besar dalam sisi muzikal Monoloque amnya & Loque khasnya. "Penghormatan Terakhir" menjadi menutup tirai album ini. Dengan menyuntik elemen keroncong, bunyian ini agak menarik. Disulami dengan elemen string, mencantikkan lagi bunyian ini dengan impak dramatik seperti skor filem melayu klasik di pengakhiran bunyian.

Kesimpulannya "Hikayat Halimunan Abad Ke-21 : Jejak Tanah" amat membanggakan. Dengan gabungan bunyian melayu klasik & rock moden, susunan muzik yang baik serta lirik yang "berisi" menunjukkan bahawa Monoloque sedang mencipta "acuan" bunyi baru dalam landskap muzik tempatan dengan memperjuangkan , memperkenalkan dan menyambung seni warisan melayu (sastera, syair, puisi, gurindam dan sebagainya) yang semakin dilupakan daripada terus ditelan oleh arus permodenan.

Selamat Tahun Baru